? ??????????????Playboy? ????? ?????? ???Rating: 3.9 (198 Ratings)??12 Grabs Today. 9517 Total Grabs. ????
??Get the Code?? ?? ?????Truth In The Skies? ????? ?????? ???Rating: 4.0 (1 Rating)??11 Grabs Today. 61 Total Grabs. ??????Get the Code?? ?? ???????????? ????Easy Install Instructions:???1. Copy CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS ?

Thursday, September 6, 2007

AJARAN SESAT:UNSUR-UNSUR KESESATAN DALAM RUFAQA'


AJARAN SESAT: UNSUR- UNSUR PENYELEWENGAN DALAM RUFAQA’

INTRODUKSI

Dengan nama Allah yang maha Pemurah dan Penyayang, solawat dan salam ke atas junjungan besar kita Rasulullah s.a.w. penyinar alam buana ini dari segala kesesatan dan kegelapan di atas kejahilan manusia yang serba kekurangan dan kelemahan. Para sahabat- sahabat (Khulafa’ Al- Rasyidin), tabi’, tabi’ tabi’in dan seluruh pendokong kebenaran yang sama- sama berjuang menegakkan kalimah Allah di muka bumi yang fana’ ini.

Atas kesedaran terhadap bahayanya gejala ini terhadap masyarakat diatas doktrin yang cuba diterapkan keatas setiap pengikutnya telah menimbulkan minat penulis yang amat mendalam untuk mengupas isu ini dengan lebih serius dalam bentuk yang lebih ’berilmiah’.

Kupasan isu dimulai dengan mengemukakan Sejarah bagaimana bermulanya Al- Arqam yang mana ia amat penting untuk kita hadaminya sebelum kita menerjah kepada pokok perbincangan yang sebenar. Ini kerana melalui pemerhatian rambang penulis, segelintir masyarakat masih tidak mengetahui apakah kaitan antara Al- Arqam dan Rufaqa’, adakah ia adalah satu atau sebaliknya. Namun begitu persoalan itu turut penulis huraikan bagi meleraikan kekusutan yang melanda masyarakat, malah apa yang lebih menyedihkan lagi terdapat juga dikalangan pelajar IPT sendiri masih kabur tentang sejarah kumpulan ini dengan lebih jelas. Pengetahuan yang hanya semata- mata bersandarkan kepada omongan semata perlu dikikis terutamanya di kalangan golongan terpelajar dan ia tidak sepatutnya berlaku. Satu lagi perkara terpenting yang cuba penulis ketengahkan dalam kajian ini adalah berkenaan dengan punca dan sebab berlakunya pengaharaman ke atas Al- Arqam sehinggalah wujudnya logo perniagaan baru iaitu Rufaqa’ Corporation Sdn. Bhd. Ini adalah antara intipati terpenting bagi menjelaskan duduk perkara sebenar yang berlaku dalam kumpulan ini disamping mengetahui apa yang terselindung di sebalik keyakinan mereka yang sebenarnya berlandaskan hawa nafsu dan keduniaan semata. Sekalipun pada zahirnya nampak ia menguntungkan umat Islam (perniagaan yang dibangunkan) namun disebaliknya ada lagi perkara penting yang perlu jelas iaitu persoalan pokok dalam agama yakni akidah yang benar, bukan semata- mata berlandaskan ketaksuban dan ikutan secara membuta tuli sehingga menolak sumber utama yang dipegang oleh Ahli Sunnah Wal Jamaah. Juga penulis nyatakan disini penerbitan buku penuh kontroversi, membuka ruang dan secara tidak disengajakan telah mendedahkan kumpulan ini dari diambil tindakan sekali lagi iaitu buku yang berjudul “Abuya Ashaari Muhammad: Pemimpin Paling Ajaib Di Zamannya“ karangan Khadijah Aam, isteri ketiga pemimpin nombor satu Rufaqa’ yang mana di dalamnya terdapat banyak sekali penyelewengan yang ditulis sehingga setelah dikaji oleh Jabatan Mufti Selangor telah berjaya menyenaraikan sebanyak 28 perkara yang menyesatkan dan mengelirukan berlandaskan i’tiqad Ahl Sunnah Wal Jamaah.

Perkara terakhir yang cuba dikupas penulis adalah berkenaan dengan kefahaman dan pegangan kumpulan rufaqa’ yang masih diamalkan sehingga kini. Ini termasuklah berkenaan dengan penyelewengan atau pengubahsuaian Aurad Muhammadiah, at- Taqiyyah (helah mengekalkan kefahaman yang salah), Majlis Yaqazah, Power Perunding Tuhan, Syafa’at Ummah, Roh- roh orang Rufaqa’ berjuang bersama orang yang hidup dan Roh- roh wali Allah menjelma masuk dalam badan orang- orang Rufaqa’. Kesemua maklumat ini kami perolehi daripada VCD ceramah yang disampaikan sendiri oleh orang kanan Asya’ari Muhammad.

Untuk akhirnya, penulis memohon beribu kamaafan andai ada kesilapan dalam megemukakan hujah. Sesungguhnya kajian yang dilakukan ini masih banyak kekurangan dan amat mengharapkan teguran dan sokongan pembaca sekalian dalam menyempurnakan lagi hasil kajian ini. Atas kesedaran tentang peri- pentingnya persoalan akidah yang suci dan murni itu perlu di terapkan dalam masyarakat era perdana dan zaman globalisasi tanpa sempadan, telah menghasilkan kajian yang tidak seberapa ini. Namun begitu, untuk memberi kesedaran kepada masyarakat bukanlah kerja yang mudah, malah ia memerlukan bukan sedikit pengorbanan bahkan usaha yang berterusan itu amat diperlukan bagi meneruskan kelangsungan dakwah dari pelbagai lapangan. Akhir kata apa yang baik itu datangnya dari Pencipta dan yang dhoif itu datangnya dari diri yang diciptakan-Nya. Akhir kata mari kita sama-sama menghayati sepotong hadith Nabi buat renungan kita bersama:

“Sampaikanlah padaku walau sepotong ayat“


PENGENALAN SEJARAH BERMULANYA AL-ARQAM

Al- Arqam diasaskan pada tahun 1968 oleh Ustaz Ashaari bin Muhammad, beliau merupakan seorang guru agama rakyat di Sekolah Datuk Keramat berkelulusan Thaanawi 4 di Maahad Hishamuddin Kelang, Selangor yang sekarang dikenali sebagai Kolej Islam Kelang. Pada ketika itu Beliau berusia 30 tahun dan merupakan bekas ahli serta aktivis PAS di Tanjung Karang, Selangor.

“Rumah Putih” sebuah rumah sewa Cikgu Abdul Rahman bin Shamsuddin beralamat Lorong Kiri 2, Datuk Keramat adalah markas pertama dalam sejarah gerakan Al- Arqam yang dijadikan tempat untuk berhimpun dalam halaqah pengajian fardhu Ain dan usrah. Pada waktu itu kumpulan halaqah itu dinamakan sebagai Jemaah Rumah Putih. Selama dua tahun (1968-1970) beliau dan sahabat- sahabatnya berusaha membaiki diri dengan pengajian ilmu fardhu Ain (hasil pengajian kitab kuning) dan mengamalkannya dalam kehidupan. Ustaz Zakaria Ansari telah mengemukakan cadangan agar nama “Rumah Putih” ditukarkan kepada Darul Arqam, dan nama tersebut itu disambut baik oleh Ustaz Ashaari Muhammad. Nama tersebut telah kekal sebagai nama rasmi Jemaah Al- Arqam sehingga diharamkan.

Pada sekitar tahun 1970 beliau mula mengusahakan dakwahnya, peringkat awal dakwahnya, beliau banyak menekankan ceramah- ceramah kesedaran dalam usrah- usrah yang disampaikan. Selepas itu markas Darul Arqam telah berpindah ke rumah Mohd Salleh Abu Bakar (Pak Salleh Bakar) di Simpang Flat, Jalan Pekeliling. Walaubagaimanapun Ustaz Ashaari Muhammad mengadakan usrah- usrah umum di Masjid Pakistan dan Masjid Jamek, Kuala Lumpur dan melalui kegiatan- kegiatan inilah Darul Arqam menemukan tokoh- tokoh seperti Akbar Anang dan Haji Abd. Halim Abbas.

Pada peringkat awal, Darul Arqam banyak mengambil manfaat daripada pengalaman, malah identitinya sebagai pertubuhan tidak ketara lagi. Pada peringkat awal Ustaz Ashaari dan sahabat- sahabatnya pernah terlibat dengan jemaah Tabligh, pernah bersama- sama saudara Anwar Ibrahim, dalam ABIM. Pernah juga bersama sebuah kumpulan (Thoifah) yang berpusat di Petaling Jaya yang dipimpin oleh Abdullah Sharif dan dianggotai oleh tokoh- tokoh seperti Muhd Uthman El- Muhammady dan Wan Muhammad bin Wan Muhd Ali. Malangnya tokoh- tokoh yang dihormati oleh Al- Arqam ini pada 18 Mei 1972, Ustaz Wan Muhammad telah mengisytiharkan syirik terhadap Jemaah Darul Arqam di Masjid Jamek, Kuala Lumpur.

Pada tahun 1972 Arqam mula mengorak era baru dengan mempelopori pembukaan perkampungan Islam yang pertama di Sungai Pencala, Kuala Lumpur di atas sebidang tanah yang dibeli secara berkongsi oleh Ustaz Ashaari Muhammad dan sahabat- sahabatnya bukan sahaja untuk dijadikan tempat tinggal bahkan sebagai markas kegiatan Arqam. Langkah tersebut telah membawa kepada lahirnya banyak perkampungan- perkampungan Al- Arqam di dalam Malaysia dan luar negara.

Pada Ogos 1975 Darul Arqam dengan rasminya telah menubuhkan sekolah atau Yayasan Al- Arqam di Sungai Pencala yang menempatkan barisan pelajar yang pertama seramai 12 orang (Al- Arqam telah mengirim 12 orang pelajarnya ke Yayasan Khairiah, Kupang Baling Kedah sebelum ditarik balik setelah membuka Yayasannya sendiri). Mudirnya yang pertama adalah Ustaz Mohd Rusdi Yusuf. Yayasan Al- Arqam telah berkembang pesat dengan membangunkan pengajiannya dari peringkat tadika hingga ke peringkat tinggi dan telah mengirim para pelajarnya ke seberang laut seperti Pakistan, India, Mesir, Jordan, Indonesia, Uzbekistan dan Turki untuk menimba pengalaman dan ilmu.

Pada tahun 1977, Darul Arqam telah memulakan penerbitan Akhbar Al- Arqam Shoutul Arqam (kemudiannya dikenali Penerangan Al- Arqam) yang telah berkembang sehingga penerbitan pelbagai majalah Islam, risalah- risalah fardhu ain, buku- buku dan kaset- kaset ceramah fardhu ain dan nasyid, yang diedarkan secara meluas di seluruh Malaysia dan peringkat antarabangsa.

Antara perkembangan khidmat masyarakat Al- Arqam yang pesat dalam sejarah Darul Arqam ialah:

- Disember 1976, pertama kali kursus kefahaman Islam untuk umum telah diadakan dan di teruskan sehingga tahun 1985 di Sungai Pencala dan disambung semula di Sungai Pencala pada tahun 1986- 1989 dan siri- siri kursus ini telah diadakan di setiap cawangan negeri dan dipertingkatkan mengikut tahap kesedaran, kafahaman dan kepimpinan. Syukbah Dakwah Al- Arqam telah membuat pengisian ceramah di merata tempat seperti surau, masjid, pejabat- pejabat, kem- kem tentera dan polis dan lain- lain. Selain sangat giat menghantar para pendakwah ke kawasan- kawasan pedalaman Sabah, Sarawak hinggalah ke peringkat antarabangsa.

- Mei 1977, bahagian Perkhidmatan Ummah yang berpusat di Gombak yang diketuai oleh Akbar Anang ditubuhkan bagi menggiatkan ekonomi Islam yang kemudiannya dikenali sebagai Syukbah Ekonomi Al- Arqam yang menghasilkan dan mengedar produk- produk yang dihasilkan oleh kilang- kilang Al- Arqam.

- Jun 1978, Pusat Perubatan Al- Arqam yang pertama berpusat di Desa Minang ditubuhkan dan di pimpin oleh Dr. Nordin Ahmad.

- 1980, Al- Arqam melalui Yayasan Al- Arqam telah menubuhkan Kumpulan Nasyid Putera- putera Al- Arqam di mana mereka telah mempersembahkan dakwah dalam bentuk seni suara Islam di malam- malam puisi Islam, mereka kemudian menjadi pelopor kepada kumpulan- kumpulan nasyid terkenal seperti Raihan, Hijjaz dan Rabbani pada masa sekarang.

- 1982, Al- Arqam dengan rasmi mula menghantar delegasi dakwah ke peringkat antarabangsa dan telah membawa kepada tertubuhnya markas- markas Al- Arqam di luar negeri seperti Singapura, Brunei, Indonesia, Australia, New Zealand, Pakistan, Jordan, Mesir, Britain, Perancis, Jerman, Amerika Syarikat dan Jepun.

- 1987, Al- Arqam telah menganjurkan Pameran “ Islam adalah cara Hidup” di PWTC Kuala Lumpur buat kali pertama dan di bawa untuk dipamerkan Islam dalam bentuk pameran dan ekspo seluruh Malaysia.

Sehingga pada tahun 1994, Al- Arqam adalah sebuah jemaah yang tidak didaftarkan di bawah akta pertubuhan tetapi adalah sebuah jemaah yang berjaya menegakkan suatu model sebagai sebuah jemaah yang syumul iaitu berjaya menegakkan sistem- sistem hidup Islam dalam jemaah tersebut dengan keahlian seramai sepuluh ribu orang di seluruh dunia
[1].

ANTARA SEBAB DAN PUNCA YANG TELAH MEMBAWA PENGHARAMAN AL- ARQAM

Sebelum kita melangkah dan meneroka dengan lebih jauh dan mendalam lagi, eloklah kirannya kita mengetahui apakah yang menjadi punca dan sebab di atas pengharaman kegiatan Al- Arqam sehingga menyebabkan kerajaan mengeluarkan satu fatwa yang lebih menyeluruh oleh Jawatankuasa Fatwa dan di wartakan pada 18 Ogos 1994.

Sekalipun telah dua dekad penubuhannya, namun begitu Al- Arqam tidak terlepas daripada masalah biasa dalam sesebuah pertubuhan mahupun jemaah. Al- Arqam mengalami pelbagai pergolakan dan krisis dalaman yang berpunca daripada masalah kepimpinan dan penyelewengan yang berlaku dalam pertubuhan tersebut.

Krisis yang paling besar berlaku pada 14 Mac 1979 apabila Akbar Anang, Ketua Syukbah Ekonominya dan enam lagi pemimpinnya telah disingkirkan daripada Al- Arqam. Walaupun penyingkiran itu dikatakan berpunca daripada penentangan dan rasa tidak puas hati ‘Kumpulan Tujuh’ terhadap diskriminasi dan dominasi jawatan yang dilakukan oleh segelintir pemimpin dalam Al- Arqam, tetapi ia sebenarnya mempunyai kaitan dengan amalan Aurad Muhammadiah.

Persoalan mengenai Aurad Muhammadiah kembali menjadi isu pada pertengahan tahun 1986 apabila Timbalan Syeikhulnya, Ustaz Mokhtar Yaacub menunjukkan penentangannya terhadap amalan yang menjadi pegangan Ashaari Muhammad dan sebahagian besar pengikut Al- Arqam. Akibatnya penentangannya itu beliau telah disingkirkan daripada pertubuhan tersebut.

Pergolakan sekali lagi berlaku pada akhir tahun 1980 apabila Naib Syeikhulnya, Mohd Rosdi Yusof mempersoalkan pelbagai amalan kerohanian dalam jemaah Al- Arqam terutamanya program yang dikenali sebagai Majlis Yaqazah. Pendedahan yang dilakukan oleh para bekas pemimpin kanan Al- Arqam mengenai penyelewengan akidah yang berlaku di dalam jemaah tersebut dan pembongkaran mengenai penubuhan angkatan bersenjata yang dikenali ‘perang Badar’ telah mendorong pihak berkuasa bertindak.

Rentetan dari peristiwa inilah telah menyebabkan Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri (Pusat Islam) bersama dengan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) telah memanggil Ashaari untuk memberi penjelasan berhubung perkara tersebut, namun Ashaari menafikan dakwaan tersebut, sehinggalah keluarnya buku bertajuk ‘Aurad Muhammadiah Pegangan Darul Arqam’. Setelah dikaji dan dan diteliti didapati bercanggah dengan akidah sebenar. Maka dengan itu, Jawatankuasa fatwa Majlis Agama Islam Negeri Kedah Darul Aman pada 13 Safar 1409/ 24 September 1988 telah mengeluarkan fatwa bahawa Aurad Muhammadiah adalah berlawanan dengan Al- Quran dan Al- Hadith dan megelirukan akidah Islam yang sebenar dan diharamkan daripada dipelajari, disimpan, dijual dan disiarkan di Negeri Kedah Darul Aman.

Maka dengan itu, pada 24 Julai 1994, satu fatwa yang lebih menyeluruh telah dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa ini dan diwartakan pada 18 Ogos 1994
[2]. (lihat lampiran).


PENGHARAMAN AL- ARQAM DAN KONTROVERSI RUFAQA’, KAITAN ANTARA KEDUANYA

Pada 5 Ogos 1994, Majlis Fatwa Kebangsaan telah mengisytiharkan pengharaman terhadap Al- Arqam dan segala ajaran serta bahan penerbitan yang dikeluarkan oleh pertubuhan itu. Tindakan ini disusuli pula dengan penahanan beberapa pemimpinnya di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Pada 3 September 1994, Ashaari Muhammad dan enam orang pengikutnya telah di bawa dari utara Thailand untuk dihantar pulang ke Malaysia dan ditahan di bawah akta ISA.

Kesemua mereka kemudiaannya dibebaskan selepas ditahan selama 60 hari dan setelah membuat pengakuan terbuka yang disiarkan oleh media massa mengenai penyelewengan yang pernah dilakukan. Mereka semua yang dibebaskan dikenakan sekatan daerah dan diletakkan di bawah pengawasan pihak keselamatan. Ashaari Muhammad dikenakan sekatan daerah Rawang dan Labuan sebelum dibebaskan pada Oktober 2004. Pengharaman dan tindakan mengikut akta ISA telah menyebabkan jemaah Al- Arqam berpecah kepada berbagai- bagai kumpulan. Pengikut yang masih setia dengan Ashaari Muhammad telah berkumpul di bawah logo perniagaan baru yang dikenali sebagai Rufaqa’ Corporatian Sdn. Bhd. Syarikat Rufaqa’ ditubuhkan pada bulan April 1997 menumpukan perniagaan yang berasaskan pengeluaran produk kesihatan herba sebelum berkembang membuka cawangan perniagaan yang merangkumi pasar raya kecil, restoran, cafeteria, makanan, teknologi maklumat, perlancongan, kejuruteraan, butik, pengiklanan, kedai perabot, kilang soya, kicap, sos dan dobi, kedai buku dan penerbitan media.

Syarikat Rufaqa’ mendakwa mempunyai lebih 700 buah cawangan perniagaan di dalam dan luar negara dengan konsep dan sistem perniagaan yang mirip jemaah Al- Arqam.

Walaupun penubuhan Rufaqa’ dan pergerakan Ashaari Muhammad serta para pengikutnya sentiasa berada di bawah pengawasan pihak berkuasa serta ada ura- ura yang mengatakan bahawa Asya’ari cuba untuk menghidupkan semula ajaran Aurad Muhammadiah, namun semua itu tidak dapat dibuktikan secara ‘soreh’ , sehinggalah buku paling kontroversi karangan Ummu Jah, isteri ketiga Abuya telah diterbitkan yang secara terang- terangan membenarkan teka- teki selama ini yang berjudul, “Abuya Ashaari Muhammad: Pemimpin Paling Ajaib di Zamannya” telah memberikan satu pukulan yang hebat kepada syarikat berkenaan.

Ashaari Muhammad bukan sahaja dituduh cuba menghidupkan Al- Arqam tetapi juga didakwa masih lagi berpegang kepada ajaran Aurad Muhammadiah yang telah difatwakan sesat itu. Lebih memburukkan lagi keadaan apabila dakwaan kerohanian yang dibuat dalam buku itu telah membuka ruang untuk tindakan diambil sekali lagi ke atas Ashaari Muhammad dan pengikutnya
[3].

Kandungan buku itu secara terang- terangan mengisyiharkan Ashaari dengan Aurad Muhammadiah umpama isi dengan kuku dan hal yang tidak mungkin dipisahkan. Penyelewengan dalam buku tersebut yang didedahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama, Belia dan Mesra Rakyat negeri Selangor, Datuk Abdul Rahman Palil, selepas dikaji oleh Jabatan Mufti Selangor akan dijelaskan dengan lebih detail selepas ini.

Apakah tindakan ini akan menghancurkan sama sekali sisa- sisa kekuatan Al- Arqam atau menyebabkan seluruh kegiatan Rufaqa’ runtuh, semuanya bergantung kepada apakah bentuk tindakan yang akan diambil dan sejauhmana Rufaqa’ mampu menghadapi isu ini.


BUKU “ABUYA ASHAARI MUHAMMAD: PEMIMPIN PALING AJAIB DI ZAMANNYA” : PENYELEWENGAN YANG TERDAPAT DI DALAMNYA

Buku terbaru tulisan Khadijah Aam yang berjudul “Abuya Ashaari Muhammad: Pemimpin Paling Ajaib di Zamannya”, isteri ketiga Ashaari yang lebih dikenali dengan panggilan Ummu Jah, telah menggemparkan Malaysia. Buku yang diterbitkan oleh Minda Ikhwan, anak syarikat Rufaqa’ Corporation ini telah dikaji oleh beberapa jabatan Mufti dan difatwakan sebagai menyeleweng. Jabatan Mufti Selangor misalnya, menyenaraikan 38 aspek kandungan yang menyeleweng dalam buku tersebut.

Sebelum itu, buku tersebut telah dilancarkan secara besar- besaran di Thailand dan Indonesia. Semasa sidang media di pejabat Rufaqa’ Corporation, di bandar Country Home, Rawang, wartawan yang hadir telah dibekalkan rakaman tersebut. Malah sebelum ini pihak Rufaqa’ pernah mengedarkan surat jemputan kepada media tentang pelancaran buku tersebut di Putrajaya Convention Centre (PCC), dan kemudiannya jemputan tersebut di alihkan ke Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC). Namun program tersebut kemudian dibatalkan yang menurut penganjur disebabkan tidak mendapat kebenaran pihak berkuasa.

Walaupun sebelum ini Ashaari menafikan wujud usaha mengamalkan Aurad Muhammadiah yang telah difatwakan sesat oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada tahun 1994 dalam Rufaqa’ Corporation Sdn. Bhd, namun kandungan buku ini secara terang- terangan mengisytiharkan Ashaari Muhammad sememangnya mempunyai kaitan yang amat rapat dengan Aurad Muhammadiah.

Laman web
http://rufaqa turut menyiarkan 28 perkara di antara 38 perkara penyelewengan dalam buku tersebut yang didedahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama, Belia dan Rakyat negeri Selangor, Datuk Abdul Rahman Palil, selepas dikaji oleh Jabatan Mufti Selangor. Berikut adalah penyelewengan tersebut:

1. Mendakwa Ashaari Muhammad adalah mujaddid dan diyakini sebagai pembantu Imam Mahdi.

“Allah lahirkan duta- Nya bertaraf mujaddid, pembawa Imam Mahdi yang kini amat diyakini, kemuliaannyalah menyebabkan Malaysia jadi mulia.” (hlm. vi, baris 12-16).
2. Mendakwa Rasulullah s.a.w berjumpa, berkomunikasi serta membawa berita bahawa Ashaari Muhammad adalah Putera Bani Tamim.

“….Rasulullah mendatanginya, bercakap- cakap padanya, memberi panduan dan berita- berita…”

3. Mendakwa bahawa hanya Ashaari yang boleh membawa mereka mengingati Tuhan, seolah- olah menafikan para nabi dan rasul sebagai utusan dan kekasih Allah yang lebih utama.

“Dialah, (Ashaari), Ya Allah, yang telah berjaya membuatkan kami mampu membesarkan-Mu begitu sekali, hingga sampai memperkecilkan sahaja semuanya yang selain-Mu…” (hlm. x, para 4).

4. Mendakwa seolah- olah jika tidak kerana Ashaari, pengikutnya tidak mempunyai Tuhan.

“Ya Allah, ia (Ashaari) benar- benar membuatkan kami tidak lagi keseorangan dalam hidup, kerana sudah mempunyai Tuhan.” (hlm. x para 2).

5. Membuat persamaan taraf antara Rasulullah s.a.w. dengan Ashaari dalam aspek keilmuan dan mendakwa ilmunya adalah melalui ilham sebagaimana Rasulullah menerima wahyu.

“Kita umat Islam sangat beruntung kerana dikurniakan seorang Nabi dan Rasul akhir zaman yang tidak perlu membaca dan menulis untuk menguasai ilmu. Nabi junjungan yang Ummiy itu, nabi Muhammad s.a.w., diberi hati oleh Allah yang mampu mengambil terus ilmu dari Allah (melalui Jibril), tanpa perlu membaca dan menulis. Gemparlah dunia Arab, Rom dan Parsi kerana kejadian itu. Di mana seorang yang direndahkan tapi menjadi sepandai- pandai manusia. Kuasa Allah diciptakan kepada orang- Nya. Demikian Abuya Ashaari Muhammad ini.” (hlm. 12, para 2).

6. Membuat ramalan dengan mendakwa Ashaari memperolehinya melalui mimpi yang benar, mempunyai kasyaf serta mendapat berita ghaib melalui talian roh seperti ilham dan yaqazah.

“…Sebenarnya Abuya Ashaari Muhammad termasuk orang yang direzekikan Allah dengan berita- berita ghaib ini. Kita bertuah kerana boleh menumpang manfaatnya sama…” (hlm. 15, para 4).

7. Mendakwa Ashaari orang kanan atau pembantu Imam Mahdi.

“Imam Mahdi dalam program dan strategi mengislamkan dunia ini semula; menurut Abuya Ashaari Muhammad, dia (Imam Mahdi) sedang memulakan tapaknya menggunakan tangan orang kanannya, al- Fata al- Tamimi (Ashaari). Abuya yakin orang kanan itu ialah dirinya.” (hlm. 21, para 2).

8. Mendakwa dan memperakui bahawa Syeikh Suhaimi adalah Imam Mahdi.

“Di majlis itu seseoang bertanya kepada Sayyidi Sheikh Suhaimi, apakah benar tuan Imam Mahdi? Sayyidi Sheikh Suhaimi bertafakur 15 minit dan kemudian angkat kepala lalu menjawab, “Ya, saya Imam Mahdi.” (hlm. 28, para 2).

9. Mempercayai dan memperakui dakwaan Sheikh Muhammad as- Suhaimi bahawa dia akan dighaibkan Allah, serta Allah mengizinkannya untuk dilihat seperti meninggal dunia.

“Kata Sayyidi Sheikh, “Insyaallah, saya akan dighaibkan Allah, tapi kalau hilang begitu sahaja, sedangkan saya begitu terkenal, akan jadi masalah. Maka Allah izinkan saya untuk dilihat seperti meninggal dunia walhal saya dighaibkan Allah.” (hlm. 28, para 3)

10. Menyamatarafkan Syeikh Suhaimi dengan Nabi Isa a.s. dengan mendakwa beliau mempunyai segala ciri Imam Mahdi dan ghaib seperti Nabi Isa a.s.

“Hinggalah bilamana penjajah begitu mengancam maka Sayyidi Sheikh Suhaimi yang mempunyai segala ciri Imam Mahdi itu ghaib, seperti ghaibnya Nabi Isa a.s.” (hlm. 36, para 3)

11. Mendakwa mujaddid sebenarnya (Ashaari Muhammad) adalah orang yang diilhamkan oleh Allah melalui roh Rasulullah s.a.w.”

“Setiap mujaddid sebenarnya adalah orang dililhamkan oleh Allah melalui roh Rasulullah s.a.w.” (hlm. 41, para 2)

12. Mendakwa Ashaari adalah orang Tuhan, orang Rasul yang diberikan wahyu atau ilham.

“Demikian sebenarnya kelahiran orang Tuhan, pemimpin kebenaran, mestilah dari sejarah yang bersifat kebenaran. Tanpa itu, mustahil Allah hendak hidupkan agama- Nya yang mulia, ditangan orang yang kotor. Orang Tuhan, orang Rasul yang akan diberikan wahyu atau ilham tentulah dipersiapkan untuk mampu melakukannya.” (hlm. 47, para 2)

13. Mendakwa bahawa Majlis Fatua Kebangsaan dan Kerajaan telah kalah.

“Allah Taala sudah takdirkan Abuya telah menang dalam pertarungan dengan tuan- tuan (Majlis Fatua) dan dengan kerajaan Mahathir.” (hlm. 107, para 2)

14. Mendakwa 2 tokoh yang disiapkan Tuhan adalah Putera Bani Tamim (Ashaari Muhammad) dan Imam Mahdi (Sheik Suhaimi). Manakala roh Rasulullah s.a.w. yang telah wafat merupakan penggerak utama.

“Menurut Abuya, kalau kebangkitan pertama dijayakan oleh Rasulullah bersama Sahabat, maka kebangkitan kedua di akhir zaman, Rasulullah gunakan ikhwan dan Putera Bani Tamiz sebagai orang kanannya. Mereka akan lahirkan 313 Ikhwan di kalangan pemimpin- pemimpin manakala jumlah ikhwan semuanya 500 orang.” (hlm. 107, para 4)

15. Mendakwa Rasulullah s.a.w. telah menganugerahkan Aurad Muhammadiah kepada Syeikh Suhaimi dan Ashaari Muhammad.

“Kepada mereka (pengikut Ashaari), Rasulullah telah anugerahkan sebuah tarekat khusus iaitu Aurad Muhammadiah.” (hlm. 107, para 5)

16. Mendakwa Ashaari dilantik oleh Tuhan sebagai pemimpin di zamannya.

“Sebenarnya bila sudah ada seorang pemimpin yang Allah takdirkan boleh lakukan yang demikian, itulah tandanya pemimpin itu dilantik Tuhan untuk zamannya. Abuyalah (Ashaari) orangnya.” (hlm. 135, para 4)

17. Mendakwa keselamatan dunia dan akhirat bagi sesorang itu adalah melalui dua bai’ah. Pertama, mengucap dua kalimah syahadah. Kedua, menerima serta taat kepada pemimpin yang dilantik oleh Tuhan (Aahaari).

“Keselamatan dunia dan akhirat seseorang ialah bilamana dia melepasi dua bai’ah. Bai’ah pertama ialah mengucap dua kalimah syahadah. Bai’ah kedua, ialah menerima dan taatkan pemimpin yang dijanjikan yang ditunjuk Tuhan serta mampu merealisasikan dan mengukuhkan bai’ah pertama.” (hlm. 135-136)

18. Mendakwa Allah memberikan Abuya ‘power’ yang boleh memanggil duit, ilmu serta segala keperluannya.

“Allah rezekikan ‘power’ pada Abuya yang dengan ‘power’ itu Abuya panggil duit, maka duit datang. Abuya panggil ilmu, ilmu datang. Apalagilah keperluan Abuya, semua Allah rezekikan dengan sebab- sebab adanya ‘power’ yang Allah bekalkan itu. Umat Islam semuanya patut sangat mempelajari kekuatan ajaib yang Allah janjikan untuk mereka ini.” (hlm. 138, para 4)

19. Mendakwa Rasulullah dan Imam Mahdi selalu menziarahi Ashaari ketika dia sakit.

“Sebenarnya Rasulullah dan Imam Mahdi selalu menziarahi Abuya waktu sakitnya dan memberi harapan sihat dan kemenangan.” (hlm. 142, para 2)

20. Mendakwa Rasulullah dan Imam Mahdi datang kepada Ashaari secara roh untuk mengajar dan memberi ilmu.

“Kalau Rasulullah dibelakangi oleh Jibril yang selalu datang kepadanya membawa kiriman- kiriman Allah, maka Abuya pula selalu didatangi Rasulullah untuk mengajar bagaimana menghadapi persoalan dan perjuangan. Datang juga kepada beliau Muhammad Ibni Abdullah, Imam Mahdi, secara roh untuk memberi ilmu- ilmu apalagi bagi mempersiapkan jemaah.” (hlm. 147, para 3)

21. Mendakwa Rasulullah dan Imam Mahdi berbual secara jaga dengan Ashaari.

“ ( Ashaari ) berbual secara jaga degan Rasulullah dan Imam Mahdi. Hasil perbualan mereka jemaah Abuya makin maju di bidang insaniah dan material “ ( hlm. 148, no 3 )

22. Mendakwa Rasulullah dan Imam Mahdi sering memberi pertolongan kepada Abuya, jika tidak perjuangannya sudah lama berkubur.

“Sungguh ! Di belakang Abuya ada dua orang Muhammad bin Abdullah . Pertama, Rasulullah s.a.w kedua, Imam Mahdi . Kedua-duanya ghaib tapi tetap hidup di alam ghaib. Bahkan Imam Mahdi akan zahir ke dunia semula seperti turunya nabi Isa a.s.“ (hlm. 152, para 2 )

23. Mendakwa Ashaari bertemu dengan Nabi Ibrahim di tempat Baginda di bakar oleh kaumnya.

“Sepuluh kali Abuya buat ‘ landing ‘ dan ‘ take off ‘ di Ankara, Turki. Setiap ke sana Abuya mengambil masa tiga minggu . Ertinya tiga puluh minggu Abuya tinggal di Turki. Setiap hari adalah lawatan bertemu masyarakat. Dari Utara ke selatan Turki. Abuya datangi, dari barat ke timur Abuya masuki. Seluruh sejarahnya Abuya ziarahi dan akhirnya Abuya’ bertemu’ dengan nabi Ibrahim di tempat dia di bakar oleh kaumnya“ ( hlm. 157, para 3 )

24. Mereka yang terkeluar dari jemaah Abuya akan kehilangan hubungan dengan Tuhan, hilang imannya dan serta menjadi penentang agama atas nama agama.

“Bahkan didapati orang-orang yang terkeluar dari jemaah dan terputus dengan Abuya, dilihat jadi cukup menakutkan. Mereka kehilangan tali penghubung dengan Tuhan, lalu jadilah mereka penentang-penentang kebenaran , hilang Iman dan Islam serta bersekongkol dengan golongan anti agama. Sampai jadi penentang atas nama agama “. ( hlm. 171, para 2 )

25. Mendakwa Ashaari boleh menangguhkan kematian seseorang.

“Sebenarnya Allah menyuruh kita berdoa kepada-Nya dalam apa pun masalah, sekalipun meminta untuk di panjangkan umur untuk sesiapa yang harap agar janganlah dia mati dahulu. Kalaulah ada orang yang berdoa agar Izrail jangan cabut dahulu nyawa polan bin si polan dan sekiranya Allah perkenankan, maka samalah seperti Allah izinkan seseorang yang sedang sakit memanggil doktor tolong sembuhkan.

“Padahal kuasa menyembuhkan bukan ditangan doktor. Allahlah yang mempunyai kuasa mutlak untuk melakukan penyembuhan, menghidup atau mematikan. Tapi, Allah itu meluaskan agamanya dengan mengizinkan hamba- hamba-Nya untuk berurusan dengan ‘pegawai-pegawai tadbirnya’ dalam kerajaan Allah seperi malaikat-malaikat, nabi-nabi, roh-roh ghaib termasuklah makluk-makhluk lahir, namun itu semua urusan agama dan kerana Allah“.
( hlm. 198, para 1 )

26. Mendakwa Imam Mahdi akan datang selepas berlaku Daulah Islamiyyah di Malaysia dalam tempoh 3- 4 tahun lagi (2009 / 2010 ).

“Imam Mahdi akan akan zahir tidak lama lagi iaitu selepas terjadinya Daulah Islamiyyah di Malaysia iaitu sekitar 3 hingga 4 tahun lagi “. ( hlm. 213 no, 5 )

27. Mendakwa Ashaari boleh memberi ‘power’ dengannya seseorang itu boleh mendapat pertolongan dari Allah.

“ Abuya buat kursus Ilmu Ikhwan kepada pengikutnya. Abuya bagi power kepada setiap orang yang datang padanya. Dengan power itu seseorang boleh mendapatkan pertolongan Allah. Dalam apa pun hajat. Kata Abuya , power ini hendaklah digunakan untuk melakukan kebangkitan Islam kali kedua. Menggunakanya Insyaallah, kita bolah dapat daulah Islamiyyah buat Malaysia. …..Power Abuya ialah kekuatan bantuan Allah kepada seseorang yang melakukan kerja-kerja perjuangan Islam dengan syarat seseorang itu berdoa dengan bertasawwul kepada Abuya “. ( hlm. 240-241 )

28. Pujian melampau terhadap Ashaari yang mengumpamakan Ashaari berupaya menjadi Malaikat. Dia paling ajaib yang Kau ciptakan. Tiada yang lebih menghairankan selain Dia ( Ashaari ) . Makhluk yang mempunyai keupayaan menjadi malaikat sedangkan dia adalah manusia . Dia pasti menang. Orang Tuhan amat di perlukan oleh manusia dan dunia. Manusia wajib mencarinya. Dan berbaiah dengannya.

Demikianlah, penyelewengan yang terdapat dalam buku tersebut. Jika dilihat banyak perkara yang meragukan dan boleh dipertikaikan kesahihannya. Ini kerana segala dakwaan yang dibuat itu tidak bersandarkan kepada hujjah dan dalil yang qat’i daripada al- Quran dan as- Sunnah, bahkan menokoktambah perkara yang tidak terdapat dalam agama dengan berlandaskan pemikiran dan hawa nafsu semata- mata.

Ini jelas sekali bertentangan dengan suruhan Islam agar berpegang kepada sumber utama agama Islam iaitu al- Quran dan al- Hadith yang mana inilah dua perkara yang bilamana manusia benar- benar berpegang dengannya akan selamat dan tidak tergelincir ke arah kancah kesesatan.

Oleh itu diharapkan agar perkara ini dapat menjadi pengajaran kepada kita khususnya umat Islam di Malaysia agar sentiasa berusaha mendalami dan memahami agama Islam dengan cara yang benar dengan merujuk kitab- kitab yang mu’tabar dan ulama’- ulama’ yang benar dalam melakukan sebarang rujukan bukan dengan mengikut sesebuah jemaah dengan membuta tuli sahaja. Walau sebaik mana pun niat kita akan tetapi jika cara dan jalan yang dipilih tidak secocok dengan ajaran sebenar Islam maka ia tetap tidak dapat membawa kita kepada apa yang dihajati sebenarnya, ini sesuai dengan kata- kata yang menyebut bahawa, ‘matlamat tidak menghalalkan cara’.
KEFAHAMAN DAN PEGANGAN KUMPULAN RUFAQA’ HINGGA KINI

1. Penyelewengan atau ubahsuai Tareqat Aurad Muhammadiah

Sebenarnya boleh dikatakan disini asal terjadinya amalan Tareqat Muhammadiah ini berikutan pengasasnya yang amat meminati bidang tasauf, sehinggalah dikatakan lahirnya tareqat ini. Namun begitu jika diteliti disiplin ilmu Tareqat/ Tasauf amalan Tareqat Aurad Muhammadiah ini tidak boleh dikatakan atau diklasifikasikan sebagai amalan tareqat, akan tetapi ia hanyalah amalan zikir biasa atau juga disebut sebagai dhikr hasanat iaitu dhikru- ‘lLah yang tidak mempunyai adab- adab yang tertentu seperti bahan bacaan wirid- wirid biasa, bertasbih, bertahmid dan segalanya itu tidaklah termasuk dalam maksud dhikru- ‘lLah yang menjadi prinsip kedua dalam disiplin ilmu Tareqat. Biasanya dhikr hasanat tidak akan dapat menyampaikan seseorang salik itu kepada Allah dan keredhaanNya kecuali nadir (jarang)
[4].Sebaliknya pula dhikr darajat, iaitu dhikru- ‘lLah yang ada kaifiyyat, peraturan dan adab- adabnya [5]. Dhikr darajat ini ialah dhikr- ‘lLah yang ditalqinkan atau yang dibai’ahkan oleh mursyid kepada muridnya disebutkan sebagai dhikr darajat kerana seorang salik yang mengamalkan dhikr itu pengalaman rohaniahnya akan meningkat dari satu darjat kepada satu darjat yang lain [6] selain berupaya dan berfungsi bagi menyucikan hati/ bathin.

Bagi mendapatkan keterangan yang lebih meyakinkan penulis sendiri pernah menemuramah Wakil Talqin/ Khalifah Tareqat Qadiriah Wa Naqsyabandiah, Ust Dr. Abd. Manan bin Muhammad, yang juga selaku Dekan Fakulti Pengajian Islam dan Sains Sosial, Universiti Darul Iman Kampus KUSZA, beliau yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang ilmu Tasauf mengulas berkenaan isu Arqam/ Rufaqa’. Katanya ajaran Al- Arqam telah menyalahgunakan ilmu Tareqat untuk kepentingan pihak- pihak tertentu, menjadikan amalan silat sunda dan amalan bertareqat lalu di implimentasikan ke dalam konsep dakwah. Niat tidak menghalalkan cara, walaupun niatnya baik untuk berdakwah namun tidak didasari oleh ilmu yang benar tidak akan mendatangkan apa- apa kebaikan jua atau boleh diistilahkan “Buat kerja Syaitan guna nama Tuhan”. Ini jelas bertentangan dengan prinsip asas Tareqat yang menghendaki silsilah Tareqat itu tidak boleh tidak mesti bersambungan sehinggalah sampai kepada Rasulullah saw. Ini amat penting bagi memastikan dhikr yang diamalkan itu bertepatan dengan amalan Rasulullah saw dan bersumberkan dalil yang atau nas yang sohih bukannya meragukan.
Disini akan saya terangkan dengan lebih detail apakah yang di maksudkan dengan salasilah tariqat dan mengapa salasilah tareqat itu amat penting dalam disiplin ilmu Tareqat.
Salasilah ini penting kerana beberapa sebab iaitu :
a) Bagi menentukan seseorang murid menerima keberkatan (kesan ruhaniah) atau limpahan ruhani yang bersambung dengan syeikhnya itu terus bersambung sehinggalah persambungannya itu benar-benar dari puncanya yang sebenar dan teratasnya iaitu Rasulullah s.a.w. Sekiranya salasilahnya terputus atau tiada memiliki sanad salasilah yang sah maka bagaimana seseorang itu dapat menerima limpahan keberkatan “imdad bir ruhaniah” dari segala masya’ih yang terdahulu sehingga Rasulullah s.a.w yang dengannya menyampaikan kita kepada jazbah fillah (tarikan kepada Allah yakni zuk fana’fillah dan baqo’billah).

b) Bagi yang terputus wasilah ruhaniahnya maka terputuslah apa yang di panggil rabithah mursyid (pertalian mursyid).Jika tiada baginya rabithah mursyid maka tiada terpelihara perjalanannya itu daripada tercedera terhadap gangguan musuh-musuh bathin seperti iblis, syaitan jin dan segala perkara yang membahayakan perjalanan ruhaninya khususnya dalam meniti perjalanan di alam malakut. Sebab itu kita dengar bahaya-bahaya penipuan di alam ruhani yang sering kita dengar seperti membesarkan diri mengakui diri sudah capai ke mertabat wali, martabat sultanul auliya, sudah dapat tahap yang tinggi dan suka menggelar diri, taa’sub, sudah pandai menilik dan di katanya sudah dapat kasyaf, pandai mengubat kerana sudah disangkanya dapat maunah dan akhirnya melalutlah kepada gila dan sebagainya. Sedangkan rukun bagi seseorang mursyid atau khalifah itu ialah sangat merendahkan diri (tawadhu’) bagaimana pula dia nak mengaku dirinya lebih atau macam-macam lagi. Satu perkara lagi sifat orang yang terputus sanadnya suka kondem orang lain yang nyata kondemnya itu tidak jujur dan terlalu taasub dengan amalannya saja kononnya amalannya yang sah , betul dan orang lain itu semuanya tak betul kalau betul pun tak sempurna macam dia punya. Sebenarnya dua perkara ini selalu dilakukan bagi orang yang lalai dalam zikrullah atau memang sudah ada cacat dalam perjalanannya.

c) Sebagai bukti atau hujjah yang sah bahawa seseorang itu mendapat izin dari syeikhnya yang terdahulu bagi menyebarkan ajaran tareqatnya itu kerana sanad salasilah yang mahsyur dan mutashil dengan Rasulullah s.a.w. itu seumpama autoriti yang sangat berwibawa tanpa dapat di pertikaikan lagi dari sudut keizinan dan kelayakannya dalam memimpin murid. Dan inilah adab yang amat penting dalam tareqat.

d) Salasilah juga adalah suatu keesahan yang menyatakan bahawa tiada berlaku perubahan atau pindaan atau saduran dari hal penyampaian ilmu Tareqat itu sendiri dan lazimnya salasilah ini di kepilkan bersama ajaran-ajaran, adab-adab serta segala keterangan maqam-maqam zikir tariqat yang di rekod bersama dari turun- temurun supaya tidak berlaku sebarang penyelewengan atau di ciplak dari mana-mana ajaran yang bertentangan dengan asal
[7].


2. At- Taqiyyah (helah mengekalkan kefahaman yang salah)

Taqiyyah bermaksud helah yang digunakan oleh Asyaari untuk mengekalkan kefahaman yang terseleweng. Mereka cuba mengaitkan peristiwa yang diramal sebagai ‘Jadual Tuhan’ yang mana sekalipun perkara yang diramal itu tidak berlaku sebagaimana yang di jadualkan namun ia tetap dianggap akan berlaku pada masa yang akan datang. Mereka cuba mengaitkan dengan peristiwa ‘Fathu Makkah’ iaitu peristiwa pembukaan Mekah dengan ramalan- ramalan yang dilakukan oleh Asyaari sebagai menguatkan lagi hujjah dan dakwaan mereka terhadap suatu isu yang cuba diketengahkan. Ini jelas terseleweng dari ajaran sebenar Islam yang mana perbuatan meramal atau menilik ini termasuk dalam perbuatan dan amalan syaitan.

3. Majlis Yaqazah

Rasulullah saw, para sahabat dan para aulia didakwa boleh ditemui secara jaga (yaqazah) selain melalui mimpi. Mereka datang kononnya untuk mengesahkan sesuatu yang diperlukan oleh pengikut- pengikutnya umpamanya mengenali siapa yang taat dan kurang taat kepada jemaah dan pemimpinnya.

Beramal dengan ’Majlis Yaqazah’ yang mendakwa bahawa kononnya majlis berkenaan dihadiri oleh Rasulullah saw, Khulafa’ Al- Rasyidin dan roh beberapa orang ahli Kumpulan Rufaqa’. Dengan adanya majlis seperti ini telah mewujudkan satu pegangan bahawa manusia tahu tentang perkara ghaib iaitu dalam ilmu Allah. Ini adalah bertentangan dengan Al- Quran dan Sunnah, disamping itu mendakwa Rasulullah dan Khalifah lain hadir di majlis itu adalah suatu yang ganjil sekali, seolah- olah roh Rasulullah saw boleh dipanggil- panggil untuk bersama. Hal ini bukan dari ajaran Islam.

4. Power perunding Tuhan

Abuya boleh menangguhkan kematian:

Martabat Abuya dilukiskan oleh penceramah sangat dekat dengan tuhan hinggakan beliau boleh mengubah keputusan Tuhan. Misalnya apabila ajal seseorang jemaahnya hampir tiba, Abuya boleh memohon supaya Tuhan boleh menangguh kematian seseorang itu. Malah sekiranya kalau seseorang hendak sakit, Abuyalah orang pertama yang diberitahu oleh Tuhan. Setelah mendapat tahu si polan ini atau si polan itu hendak sakit, Abuya boleh meringankan kadar kesakitannya atau Abuya boleh alih dan pindahkan kesakitan itu pada orang lain, sesuka hatinya.

Sekiranya sakit itu teruk, Abuya boleh meminta Tuhan supaya memberi separuh sahaja rasa kesakitan itu kepada si polan tersebut.

“Abuya boleh tanya pula tu, apa sakitnya, berat ke tak berat? Oh! Sekian sekian sakit dia. Selepas itu Abuya tengok pula kita punya iman. Oh! Iman dia ni boleh tahan, boleh ni. Okey sakit.”

”Kadang-kadang sakit itu berat sangat Abuya tengok anak buah itu, makna belum sampai lagi. Kena sakit ni mau melatah ni. Mau dia buruk sangka dengan Tuhan. Tak apa ya Allah bagi dia setengah saja sakit tu. Habis setengah lagi bagi dekat saya.”

Dia ambil sakit kita setengah tu supaya jangan sakit kita menyeleweng iman kita. Supaya kita jangan rosak iman. Itu sakit...” beritahu si penceramah.

Tanpa berselindung-selindung menyatakan kehebatan Abuya sehingga keadaan soal mati. Penceramah menegaskan, ”Mati kita boleh tahu. Mati kita Abuya boleh menangguhkan supaya mati kita tu selamat”.

Terdapat contoh-contoh yang diterangkan penceramah dengan menyatakan sepatutnya si polan itu sudah meninggal dunia tetapi Abuya bertolak ansur dengan Tuhan, orang yang sepatutnya mati itu diberi peluang hidup lagi. Nyawanya tidak jadi dicabut. Sebaliknya nyawa orang lain yang diambil.

Malah kata penceramah, sampai masa nak mati ajal, Abuya juga tahu dulu. Orang ini akan temui ajal sekian-sekian masa. Abuya akan tanya ”kita ni mati agak-agak baik ke mati jahat?” Sekiranya kita mati baik atau keadaan husnul khatimah, Abuya kata ”tak apalah, silalah”. Tapi kalau Abuya rasa kita mati belum selamat lagi, masih banyak lagi mazmumah, Abuya minta tangguh dahulu, ”Ya Allah, tangguhkan dulu dia terima ajal”.
”Habis macam mana, siapa ganti? Hah! Gantilah dengan siapa- siapa yang lain, anak buah lain yang dah siap, yang dah taqwa ataupun anak-anak yang bertaqwa. Ambil dulu ganti. Bagi masa untuk dia siapkan diri,” ujar si penceramah.

Dalam kes ini, si penceramah memberikan satu contoh nama Sayid N... salah seorang ahli jemaah yang sepatutnya sudah meninggal dunia tetapi kerana Abuya bertolak ansur dengan Tuhan, maka Tuhan boleh ubah keputusannya.

“Sayid N.... sepatutnya dah tak ada. Patut dah wafat dah. Abuya bertolak ansur dengan Tuhan, katanya: ”Ya Allah, bukan senang nak latih orang macam ni, betul- betul jadi pemimpin bukan senang. Habis ganti.”

“Ambillah Walidah kerana Walidah tu tak ada anak. Lagipun dia orang taqwa. Orang rohani. Lagipun kalau dia mati ada peranan di alam roh.”

”Benda-benda macam tu berlaku. Mati kita Abuya boleh tangguhkan. Supaya mati kita tu selamat,” kata si penceramah.

Abuya Hadir Sewaktu Sakaratulmaut:

paling bertuah sebab semasa menghadapi saat-saat kematian dihadiri oleh Abuya yang akan duduk di sebelah kanan kepala.

“Okeylah, sah sampai masa nak mati, ajal, kita dah nak nazak. Kalau kita betul- betul anak murid Abuya masa sakaratulmaut tu, roh mukkadas Abuya duduk sebelah kanan kepala kita sepanjang masa tak tinggal.”

“Syaitan, iblis masa tulah nak goda kita. Tapi tak berani dekat, main jenguk kat tingkap, kat pintu ja. Tak berani masuk sebab Abuya ada kat situ. Mati kita tidak diganggu syaitan. Abuya yang akan talkinkan kita,” katanya.

Abuya iringi hingga ke kubur :

Kehebatan Abuya digambarkan sehingga boleh mengikut anggota jemaahnya yang baru sahaja meninggal dunia atau sudah bergelar ’mayat’ sehingga ke alam kubur. Ini kerana Abuya boleh bertukar menjadi roh mukaddas. Tugasnya ketika itu membantu menjawab segala pertanyaan malaikat Munkar Nakir bagi pihak mayat.

Abuya datang membantu sebelum malaikat Munkar Nakir bertanya si polan itu. Abuya boleh masuk campur urusan orang itu apabila malaikat hendak bertanya. Maka, selamatlah si polan itu daripada di tanya atau di belasah malaikat.

”Datang satu lembaga duduk tepi kita. Cantiknya, wanginya, bersinar-sinar. Itulah roh mukaddas Abuya. Bila munkar Nakir datang dan bertanya: ”Marabbuka.... Abuya kata: Ya Munkar Nakir, hah ini dia anak murid saya. Kalau ada apa-apa persoalan tanyalah saya. Biar saya jawab.”Munkar Nakir tak boleh buat apalah. Orang Tuhan. Nak buat macam mana? Betul! Takkan Abuya tak boleh jawab.

Kenapa Abuya datang dalam kubur kerana bila kita mati amalan kita akan beserta kita dalam kubur,” beritahu penceramah. Penceramah berulang kali menyebutkan bahawa anak murid Abuya sebagai makhluk paling hebat di muka bumi tidak boleh menandingi pengikut Sahibul Zaman.

”Yang datang dengan anak murid Abuya ini ialah lembaga yang begitu hebat, begitu wangi, begitu cantik, begitu bersinar...kerana segala amalan yang baik di muka bumi ini tidak boleh menandingi menjadi pengikut sahibul zaman,” kata penceramah.

5. Syafaat Ummah

Ashaari atau lebih dikenali dengan panggilan Abuya dipercayai dapat memberi syafaat kepada ummah. Ummah yang di maksud di sini ialah pengikut Rufaqa’ yang setia. Kepada pengikut yang setia akan mendapat pertolongan sepenuhnya daripada Abuya. Abuya akan berada bersama dengan pengikut yang setia tadi ketika pengikut yang setia itu menghadapi sakaratul maut.

Abuya turut akan bersama dengan pengikutnya yang setia ketika di alam barzakh iaitu di dalam kubur Abuya akan berada di sisi si mati yang setia dengan jemaah dan menjawab segala pertanyaan malaikat Mungkar dan Nakir kepada si mati.

Pada hari kiamat kelak, manusia akan dihimpunkan di padang mahsyar dan pada ketika itu, manusia tidak mengenali sesiapa namun pada pengikut Ashaari yang setia akan berasa sangat gembira pada hari kiamat kelak ketika bertemu dengan Abuya di padang mahsyar kerana Ashaari dikatakan akan memberi syafaat kepada pengikut-pengikutnya yang sangat taat dan setia. Disisi Abuya akan berdiri seorang yang bergelar Imam Mahdi (Syeikh Suhaimi) dan di sebelah Imam Mahdi pula akan berdiri Rasulullah yang mana mereka bertiga akan memberi Syafaat kepada Ummah iaitu pengikut-pengikut yang taat dan setia.

6. Roh- roh orang Rufaqa’ berjuang bersama orang yang hidup

Mereka mempercayai roh- roh orang Rufaqa’ yang telah meninggal dunia akan bersama- sama dengan jemaah Rufaqa’ berjuang dan membantu mereka yang hidup ini untuk melancarkan dan meneruskan perjuangan jemaah Rufaqa’ di dunia ini. Roh- roh mereka yang membantu perjuangan Rufaqa’ ini dikatakan mereka yang telah sempurna rohaninya semasa berlakunya kematiannya, sebab itulah Abuya tidak menangguhkan kematian mereka ini, bahkan merelakan diatas kematian mereka.

7. Roh- roh wali Allah menjelma masuk dalam badan orang- orang Rufaqa’
[8]

Selain itu, ’orang- orang Rufaqa’ memperakui dan mempercayai roh- roh para wali Allah menjelma masuk dalam badan orang Rufaqa’. Mereka ini berperanan membantu dalam perjuangan Rufaqa’. Contohnya dalam Majlis Yaqazah yang menggunakan orang perantaraan (orang biasa) untuk membolehkan roh- roh para wali atau orang- orang soleh untuk masuk ke dalam badan orang tersebut. Lalu orang itu berperanan untuk menilai para pengikut Rufaqa’ yang setia mahupun tidak. Perbuatan memanggil- manggil roh tersebut jelas ternyata tersesat dari ajaran Islam yang sebenar.


SUMBER RUJUKAN:

[1] Penulis Khas. Sejarah Penyelewengan Al- Arqam. Hlm 21. Lihat pada Majalah i, Bil. 51. Jan 2007.
[2] Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah Darul Aman dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Islam Jabatan Perdana Menteri, Penyelewengan Al- Arqam Dari Ajaran Islam. Kedah: Siaran Sdn. Bhd. 1994. hlm. 3-5.
[3] Ann Wan Seng. Pengharaman Arqam dan Kontroversi Rufaqa’. Hlm 28. Lihat pada Majalah i, bil. 52. Feb 2007.
[4] Muhaamad Zakariyya Al- Kandahlawi, al- Shari’ah wa al- Tariqah, 58.
[5] Abd. Samad Al- Falimbangi, Hidayatus’- Salikin. Pulau Pinang: Dar al- Ma’arif, 1353 H, hlm. 301.
[6] Abd. Al- Qadir ‘Isa, Haqaiq an al- Tasawwuf. Aman: al- Wataniyah, 1401 H, hlm. 84- 85.
[7] Faqir Amal. (n.d.) Peri pentingnya memahami peranan dan pengertian salasilah sebelum dan sesudah menghayati sesuatu Tareqat. Diperolehi Feb 26, 2007, dari http://www.bicarasufi.com/.
[8] _____________________ VCD Minda Abuya Kedongengan Abuya Syafaat Ummah.