Semua muslimin wajib mempercayai selepas mati dia akan dihidup kembali – sejahtera atau bencana terpulang kepada dunia yang sebentar lalu। Sebahagian besar tempoh masa di dunia itu 4/5 adalah berusaha samada makan gaji atau usaha sendiri। Persoalan – jika demikian habis masa yang sebahagian besarnya menanggung hidup , adakah redha Allah dapat kita perolehi? Rasulullah saw mengajarkan , jadikanlah pekerjaan (karier) sebagai satu ibadah dengan merasakan ianya satu amanah yang akan dipersoal oleh Allah di hari pengadilan। Amanah yang apabila Allah terima , di suatu harinya menjadi pertolongan Allah dalam kehidupan dunia. Bila tiba di alam Baqa’ amanah itu menjadi pakaian ketika makhluq berbogelan , menjadi teduhan dingin di saat makhluq terbakar hangus , menjadi kenderaan pantas sampai di hadapan hadhirat Ilahi Rabbil ‘Izzati. Matlamat – niat – qasad adalah dengan usaha atau pekerjaan itu menjadi jambatan penyambung kepada akhirat kelak. Imam asy-Syaikh Ibnu Qudamah (Minhaj al-Qasidin) membahagikan jenis orang bekerja ataupun berusaha kepada tiga martabat (peringkat / jenis ) beserta ciri-ciri penyakit atau ciri sihat yang ada pada tiap satunya. Martabat al-Ghoflah – Bekerja atau berusaha dalam keadaan lalai tanpa matlamat hidup yang nanti akan menyusahkannya menjadi hamba Allah. Sebaliknya tanpa disedari dia seumpama binatang ternak (al-An’am) yang cukup kenyang dan tidak dahaga , diperah titik peluh dengan ganjaran yang menjauhkannya dari Allah. Arah usahanya ditentukan makhluq hingga menghasil suatu peribadi yang terumbang ambing dalam haqiqat hidup Sahabatnya hanya insan-insan yang gagal dan kecewa dalam perjalanan hidup , mereka di bawah tempurung kejahilan , keliru , mudah putus asa merajuk , diperkotak katik orang. Membiarkan dirinya ditentukan takdir semata-mata hingga wujud syirik dalam dirinya dengan menyalahkan Allah. Martabat al-Syahwat – Tanpa sedar atau mengetahui golongan yang bekerja atau berusaha pada peringkat ini - dalam waktu yang sama membelakangi perintah dan larangan Allah, golongan ini bukan lagi hamba Allah dia menjadi hamba kepada hawa nafsu yang menguasai kehendak dunia dan nafsu hingga tiada sesuatu dirasakannya boleh menghalang tiap kemahuan syahwatnya. Ketika itu wang ringgit menjadi Tuhan yang dipuja puji , serakah duniawi menjadi pendaming dan arah panduan usahanya setiap masa. Agama dirasa pengikat kemahuannya perlu diguna ketika perlu sahaja. Dia menjadi hamba zuriat-isteri/suami yang tidak dididik atas landasan Allah.Akhlaq ketika itu penuh mazmumah (keji lagi hina) bercampuran sifat zalim menindas , menipu , berpura-pura , takabbur kata-kata dan perbuatannya , selalu khurafat dan tidak malu berbuat syirik kepada Allah. Dilanggar segala larangan Nya , haram menjadi halal dan sebaliknya juga panjang angan-angan kononnya esok hari dia akan sihat , dia masih hebat , dia masih kebal dan sebagainya. Ibu ayah dan guru tendang tepi, sampai kemuncaknya golongan ini mula bersifat keakuan (merasa semua miliknya dalam perintahnya) seolah-olah dialah Tuhan.Rakannya yang sebagai penasihat terdiri mereka yang sealiran (sahabat subahat) yang gemar berlebihan makan minum , leka mainan dunia , bergaul tanpa batasan dan benci unsur nasihat menasihati , benci insan jujur yang ingin menyelamatkannya. Martabat al-Wara’ – pada tahap ini manusia telah keluar dari tempurung atau kepompong jahil dan derhaka. Dia naik kepada suatu usaha atau pekerjaan yang murni untuk diri dan organisasinya. Allah memandang usahanya sebagai suatu pandangan rahmat dan kasih sayang kerana ketika itu dunia yang mengikutinya. Wang ringgit , pangkat dan kebendaan bukan tujuan utama tetapi berganti berharap mendapatkan jiwa yang tenang dan rezeki yang cukup, anak-anak yang mendamaikan dalam lingkungan sempadan Tuhan. Sahabatnya adalah orang mukmin bertaqwa dan rumahnya adalah masjid tiada syubhat dalam pendapatan dan amanah – masukilah keredhaan Allah dalam tenang lagi bahagia.
Sedutan:
Imam asy-Syaikh Ibnu Qudamah (Minhaj al-Qasidin) membahagikan jenis orang bekerja ataupun berusaha kepada tiga martabat (peringkat / jenis ) beserta ciri-ciri penyakit atau ciri sihat yang ada pada tiap satunya.
Imam asy-Syaikh Ibnu Qudamah (Minhaj al-Qasidin) membahagikan jenis orang bekerja ataupun berusaha kepada tiga martabat (peringkat / jenis ) beserta ciri-ciri penyakit atau ciri sihat yang ada pada tiap satunya.
1 comments:
Subhanallah ..teruskan usaha
Post a Comment